Pendekatan PAS sesuai dengan realiti dan waqie Malaysia

PENDEKATAN PAS SESUAI DENGAN REALITI NEGARA

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

11216245_869589889743547_2870609534568259481_n

PERMATANG PAUH: PAS mempunyai pendekatan sendiri dalam menghadapi hal ehwal tanah air dan masyarakat majmuk beragama Islam atau bukan Islam dengan bersiasah sebagaimana realiti yang ada di dalam negara ini, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“PAS adalah PAS. PAS bukannya Ikhwanul Muslimin, bukan jamaah Tabligh, bukan parti AK Erdogan, bukan PKS di Indonesia, bukan jamaah Islami di India dan Pakistan. PAS bukan Revolusi Islam Iran, bukan ISIS, bukan al-Qaeda. PAS adalah PAS! Kita mempunyai pendekatan kita sendiri, realiti di negeri kita sendiri.

“Rujukan kita Al-Quran, Hadis, Ijma’ Ulama’ dan Qias. Semua kumpulan Islam adalah sahabat-sahabat kita. Yang betul kita kata betul. Yang silap kita kata silap. Berbeza dengan menghadapi musuh yang menyerang dari luar. Kalau musuh luar yang nak serang negara kita, kita berperang. Angkat senjata.

“Tapi nak lawan sama-sama dalam negeri, maka (guna pendekatan) dialog, demokrasi yang adil, yang baik. Demokrasi yang menipu, kita lawan penipuan dia. Kalau tak menipu tak jadi BNlah,” ujarnya berucap pada perasmian serentak Muktamar Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat PAS Pulau Pinang di Yayasan an-Nahdhah, Kubang Semang di sini 16 Mei lalu.

Terangnya, dalam hubungan antarabangsa, Islam mengajar mendahulukan perdamaian dan bukannya peperangan.

Bahkan katanya, di saat memuncaknya peperangan, sekiranya diajak kepada perdamaian, maka Islam mewajibkan untuk menerima perdamaian tersebut serta bertawakkal kepada Allah dan seandainya musuh cuba menipu, hal tersebut terserah kepada pertolongan Allah.

“Kenapa? (Kerana) Tanggungjawab kita adalah menyampaikan mesej Islam dengan cara damai. Sangat penting. Oleh kerana itulah, kita memilih demokrasi. Demokrasi adalah paling sesuai dengan Islam walaupun orang kata dari Barat. Walaupun banyak penipuannya. Kita pilih ini dahulu,” ujarnya melanjutkan penjelasan mengenai kepentingan keadilan.

Jelas Tuan Guru juga, realiti dihadapi PAS tidak sama sebagaimana Ikhwanul Muslimin yang menghadapi pemerintahan oleh regim tentera tanpa ada demokrasi sepenuhnya hingga menempuh rampasa kemenangan dan pembunuhan pemimpin.

Realiti PAS juga katanya, tidak sama dengan Revolusi Islam Iran yang menghadapi Syabab Syah Iran selain perbezaan maraji’ (pandangan) dan suasana masyarakat bermazhab Syiah berbanding Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Tabligh di India dengan cara masyarakat Islam di India. Bergaul masyarakat Hindu dalam suasana dia. Kita suasana kita. Kita menganggap demokrasi Barat adalah paling sesuai dengan kita di sini. Bahkan dalam kajian politik, ilmu politik, sejarah politik, orang Barat tidak tahu nak mengubah demokrasi.

“(Mereka) Melakukan islah tajdid reformasi terhadap demokrasi setelah mereka mengkaji fiqh politik Islam. Mereka kenal demokrasi melalui demokrasi purba di zaman Greek sebelum Masihi. Kumpul rakyat di Sergio. Rakyat kelas atas sahaja. Wanita tidak ada. Orang miskin tidak ada. Petani tidak ada.

“Panglima perang, orang kaya-raya, bangsawan itu yang berhak mengangkat suara dalam demokrasi di Athen. Mereka tidak tahu nak guna demokrasi nak buat perubahan. Berlaku kezaliman di England. Berlaku revolusi bersenjata di England. Nak ubah kerajaan revolusi bersenjata.

“Pemimpin-pemimpin mengerahkan rakyat lawan negara yang zalim, menteri yang zalim. Apabila berjaya, raja disembelih dibunuh dalam Revolusi England. Dibunuh menteri-menteri, dibunuh penghulu-penghulu yang sokong kerajaan, balas dendam.

“Apabila zalim, revolusi lagi, bunuh pemimpin yang lain pula. Revolusi Perancis sama. Revolusi Russia sama. Revolusi Amerika sama. Sehinggalah mereka mengkaji kitab fiqh Islam,” terangnya.

Leave a comment