Sampai bilakah ulamak mahu diburukkan?

551539_1069871863028457_3822611073771249195_nSAMPAI BILAKAH ULAMAK ITU DIPERBURUKKAN?

1. Apabila para ulamak melakukan gerak kerja Islam secara hariannya, menghabiskan puluhan tahun umurnya untuk Islam, tetapi tidak bergambar, dikatakan mereka tidak buat kerja. Tetapi apabila bergambar sekeping dua, dikatakan sebagai gila populariti.

2. Apabila para ulamak merancang, dan berfikir sejenak, dikatakan mereka sebagai membisu. Tetapi apabila ulamak bersuara, dikatakan ulamak melabel, memfitnah, mengata dan sebagainya serta tak boleh memimpin.

3. Apabila para ulamak sebagai Kerajaan Kelantan berbincang dengan kerajaan Pusat untuk merangka pelaksanaan Hudud, dikaitkan dengan UG. Tetapi apabila ada pimpinan pakatan berbincang belakang dengan UMNO, dikatakan berbincang untuk maslahat rakyat.

4. Apabila para ulamak mempertahankan prinsip Islam, dan menolak pandangan yang bercanggah dengan syarak dikatakan tidak toleransi dalam menerima pandangan. Tetapi apabila DAP secara terang terangan mengkritik PAS tentang hudud, dikatakan sebagai kewajaran yang harus diterima.

5. Apabila para ulamak mengadakan Multaqa dikatakan sesi hentam, menghina dan cacian. Tetapi apabila Pasma mengadakan majlis secara terbuka menghina TGHH, dikatakan sebagai kritikan membina dan menyuruh para ulamak berlapang dada.

6. Apabila beberapa orang ulamak ketika hidupnya mempertahankan prinsip, difitnah sebagai kaki label, pemecahbelah, dan sebagainya. Apabila mereka sudah pergi, mula menceritakan jasa mereka, dan menceritakan tautan ukhuwah si kaki fitnah ini terhadap ulamak tersebut.

7. Apabila si kaki fitnah bermesyuarat bersama para ulamak, mereka menghina, menunding jari, melemparkan cacian terhadap para ulamak. Tetapi apabila di luar bertemu masyarakat, mereka mula menjaja bahawa mereka sayangkan ulamak.

8. Apabila mereka merancang dan mencatur untuk menjatuhkan beberapa ulamak, mereka namakan sebagai kebebasan berdemokrasi. Tetapi apabila ulamak menceritakan ciri ciri pimpinan gerakan Islam serta menolak unsur unsur pengkhianatan, mereka fitnah ulamak konon ingin menolak perofesionalis.

9. Apabila para ulamak berpegang dengan keputusan mesyuarat tentang MB Selangor, difitnah sebagai tidak bersepakat dengan rakan pakatan. Apabila munculnya tali barut membelakangi keputusan mesyuarat, dianggap dan dimahkotakan hero.

10. Apabila Perak, Terengganu dan Kedah dimenangi oleh PAS, dikatakan hasil usahasama pakatan, tetapi apabila ketiga tiganya jatuh dirampas, semua kesalahan ditunding jari kepada para ulamak.

11. Apabila ulamak mengajak dan mewajibkan program tarbiah, dikatakan jumud, ketinggalan, tiada keperluan kerana sudah menang 3 negeri. Tetapi apabila tumbang dirampas, mula mengatakan ulamak pemecah belah.

12. Apabila ulamak berbicara bab ekonomi Islam, dikatakan berlakon pandai, atau bukan bidang. Tetapi apabila ada sesiapa sahaja yang tidak mengaji, berbicara bab Islam, halal yang itu dan haram yang ini, dikatakan kemodenan yang harus diterima.

13. Apabila para ulamak menafsirkan al Quran dan Hadis, dikatakan ulamak juga tak lepas dari kesilapan. Tetapi apabila orang yang makhraj hurufnya masih lintang pukang mentakwilkan nas dan hukum hakam, dikatakan sebagai kepelbagaian pandangan yang harus diterima.

14. Apabila para ulamak mengetengahkan hadis tentang munafik haraki, dikatakan sebagai melabel walaupun ianya hadis. Tetapi apabila ada individu yang melabel ulamak sebagai primitif, dikatakan sebagai kemodenan sejagat.

15. Apabila para ulamak mengetengahkan SD bukti yang kukuh tentang pengkhianatan terhadap TGHH, diselamatkan ketua pengkhianatnya. Tetapi apabila ada sekeping gambar TGHH atau Dato Ahmad Yakob dengan Najib, terus dilabel sebagai UG, UG dan UG.

16. Apabila para ulamak mengadakan program tarbiah dilabel sebagai doktrinisasi atau medan kata mengata, tetapi apabila ada rangkaian sulit yang merosakkan PAS dari dalam, dikatakan sebagai penyelamat PAS kononya.

17. Apabila para ulamak mengeluarkan kenyataan terhadap SIS, si kaki fitnah katakan tidak berbincang, gopoh dan tidak toleransi, sedangkan si kaki fitnah ini sendiri gopoh dan tidak berbincang dengan para ulamak tentang sumber rujukan dan pertemuan yang telah pun dilakukan beberapa kali.

18. Apabila para ulamak bersandarkan dengan al Quran dan Sunnah, dikatakan ulamak itu tidak maksum dan ada salahnya. Tetapi apabila individu yang tidak pandai Bahasa Arab, sekadar membaca translate dalam English mendakwa ulamak itu salah, dianggap sebagai pakar maqasid atau pakar syariah.

19. Apabila ada seketul dua manusia yang belajar Nahu dan menghafal Tasrif (ilmu sorof) didakwa sebagai alim dan hebat kefahaman agamanya, tetapi apabila para ulamak yang mengaji puluhan tahun, bergelumang dengan kitab dan para masyaikh antarabangsa, dianggap sebagai “perasan ulamak” atau “mengaku alim”.

20. Apabila TGHH seorang yang alim, diketahui kehebatan dan pengalamannya, serta pengiktirafan antarabangsa terhadapnya serta kebersamaan MSU bersamanya, mencetuskan pandangannya dianggap sebagai tak matang, tetapi apabila seketul dua yang baru mengenal PAS belasan tahun mengeluarkan idea, terus dimahkotakan sebagai idea terbaik.

21. Apabila para ulamak berhujah dengan nas dikatakan salah tafsir, tafsir secara sendiri, tidak rai perbezaan pandangan, atau pandangan peribadi. Tetapi apabila ada seketul dua individu berhujah dengan akalnya sendiri, adakalanya tiada hujah, terus dianggap sebagai hujah yang bernas dengan fakta yang hebat.

22. Apabila para ulamak menegur dengan nas serta prinsip prinsip Islam, dikatakan sebagai tiada hujah atau sandaran yang lemah. Tetapi apabila ada seketul dua yang berhujahkan dengan idea idea ahli falsafah barat, dianggap sebagai hujah yang berfakta dan sandaran yang kuat.

23. Apabila UMNO dahulu mengatakan hudud tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia, mereka katakan UMNO tolak Islam. Tetapi apabila mereka sendiri yang berkata demikian atas alasan penangguhan, mereka katakan ia perlu merujuk kepada waqie’ (realistik), dan mereka katakan para ulamak yang inginkan hudud sebagai tak pandai fiqh waqie.

23. Apabila ulamak nyatakan pendirian terhadap Pasma, terus diletupkan dan disaraf menggambarkan ulamak “lancar perang”. Tetapi apabila Pasma melancarkan “perang” sejak awal penubuhannya tetapi diperindahkan dengan ayat memperkukuh Pakatan Rakyat.

24. Apabila tulisan saya ini dibaca, sudah pasti banyak hentaman dan penghinaan dan cacian yang diterima, Tetapi apabila penulisan liberalisme, boleh pula diterima dan dianggap satu kemodenan yang mesti diterima, sehingga buku buku mereka turut dipromosi oleh orang yang mengaku Islam. Ataupun status FB yang mengeji para ulamak dengan kata kata yang teruk juga turut diterima sebagai satu “keberanian” kononnya.

Terus beristiqamah
Muhammad Mujahid bin Ir Hj Mohammad Fadzil
Timbalan Ketua,
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis
Dewan Ulamak PAS Perak.

Leave a comment